Qurban dalam bahasa Arab disebut Al-Udhhiyyah iaitu binatang yang disembelih pada waktu Dhuha. Dari segi hukum Syara’ ialah binatang ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau yang disembelih pada Hari Raya Aidil Adha atau hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah Qurban disyariatkan pada tahun kedua Hijriah.
Waktu penyembelihan Qurban ialah selepas naik matahari pada Hari Raya Aidil Adha selesai solat sunat Aidil Adha dua rakaat dan khutbah sehingga terbenam matahari pada akhir hari tasyrik (13 Zulhijjah) sepertimana sabda Rasulullah:
“Seluruh Tanah Arafah itu adalah tempat wuquf dan hari-hari Tasyrik itu semuanya adalah waktu penyembelihan.”
Hadis riwayat Al-Baihaqi